Kawal emosi dan jari-jemari kita ketika menggunakan media sosial

Malay Mail Social Logo

25 FEBRUARI — Nampaknya perbuatan menghina agama dalam kalangan pengguna media sosial semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Jika anda perhatikan dengan teliti, nada dan penyampaian mesej dalam paparan mereka juga dilihat kian berani, biadap dan berniat jahat. Keberanian mereka untuk mengeluarkan mesej-mesej yang berbaur penghinaan seolah-olah mereka sudah tidak takut dengan undang-undang negara.

Persoalannya, apakah mereka tidak sedar bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh memberi kesan yang cukup dahsyat kepada kesejahteraan dan keharmonian negara? Mengapakah isu agama terus menjadi pilihan dalam paparan mereka?

Biarpun telah banyak peringatan dan amaran yang diberikan oleh pihak berkuasa agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang paparan, namun masih ada segelintir pengguna media sosial yang masih tidak serik dengan perbuatan biadap mereka itu.

Pelik dan hairan. Tatkala kita telah dikurniakan dengan teknologi-teknologi canggih yang terkini, masih ada lagi kumpulan manusia yang mahu mencari nahas dan menguji kesabaran pihak tertentu.

Kepada kumpulan manusia sebegini, mereka perlu faham dan beringat kesabaran ada hadnya. Jangan sesekali melakukan provokasi melampau seperti apa yang kita lihat dalam beberapa kes yang dipaparkan oleh media dan selepas itu memohon maaf begitu sahaja.

Alasan kononnya akaun media sosial telah digodam dan mereka tidak berniat untuk melakukan provokasi sudah lapuk dan tidak boleh diterima pakai lagi. Jika benarlah akaun media sosial digodam, tidakkah anda mengambil langkah pencegahan terlebih dahulu bagi memastikan akaun media sosial anda tidak digodam dengan sewenang-wenangnya? Jika benarlah anda tidak berniat untuk melakukan provokasi, mengapakah anda tetap melakukan perbuatan itu? 

Ternyata, alasan-alasan yang diberikan itu tidak logik. Oleh yang demikian,

bagi mereka yang berani melakukan perbuatan biadap sebegini, mereka perlulah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk di bawa ke muka pengadilan.

Untuk memastikan amarah rakyat dapat dibendung selain perbuatan menghina agama tidak berulang, ketegasan pihak berkuasa amatlah ditagih. Pihak berkuasa perlulah peka dan bertindak pantas untuk menangani perbuatan menghina agama hingga ke lubang cacing.

Jangan disebabkan oleh perbuatan segelintir pengguna media sosial yang tidak beretika, keharmonian dan kesejahteraan negara musnah begitu sahaja. Ibarat pepatah yang berbunyi kerana setitik nila, rosak susu sebelanga.

Mudah-mudahan tindakan tegas yang dikenakan akan memberi pengajaran berguna kepada semua pengguna media sosial untuk berpada-pada ketika memuat naik paparan. 

Paling mustahak, kawal emosi dan jari-jemari kita. Jangan ikut suka hati untuk memuat naik sesuatu mesej tanpa memikirkan akibatnya terlebih dahulu. Ingatlah bahawa apa yang telah dimuat naik dalam Internet, akan kekal buat selama-lamanya dan ia boleh kembali menghantui kita.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Kawal emosi dan jari-jemari kita ketika menggunakan media sosial