Najib, Zahid tidak berani tarik sokongan dari Muhyiddin sebelum Febuari 2021, ini sebabnya…

“Jika Team A sabar dan menunggu sehingga bulan Febuari, bukan hanya kemungkinan untuk parlimen dibubarkan lebih tinggi, menteri-menteri dari Barisan Nasional akan dapat menabur pelbagai janji menggunakan peruntukan dari dana dari Belanjawan 2021 sebelum parlimen dibubarkan dan PRU15 berlangsung”

Raggie Jessy Rithaudeen

نجيب، زاهيد تيدق براني تاريق سوكوڠن دري محي الدين سبلوم فيبواري 2021، اين سببڽ…

Pada 27hb Julai 2020, di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu wartawan dalam nada yang agak tegas bahawa satu “keputusan politik besar” akan diambil oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Zahid berkata demikian setelah Hakim Mahkamah Tinggi menyabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan salahguna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Kenyataan Zahid merupakan reaksi terhadap hukuman tersebut, seolah-olah UMNO tidak berpuas hati dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak ‘mempengaruhi’ mahkamah agar Najib dibebaskan atau dilepaskan dari segala pertuduhan.

Ianya mungkin ada sangkut pautnya dengan rancangan sulit Team A pimpinan Najib dan Zahid untuk mencetuskan pembubaran parlimen seandainya Najib didapati tidak bersalah dan seterusnya menamakan Najib sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional.

Zahid memberi persepsi kononnya Team A akan menghukum Perikatan Nasional dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, sekaligus meruntuhkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.

Walaubagaimanapun, tiga hari kemudian, Zahid menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional kekal menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional walaupun tidak menyertai gabungan itu secara rasmi.

“Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pembentukan kerajaan pusat dan di beberapa negeri,” katanya.

Bukankah itu yang diputuskan oleh Barisan Nasional dari awal lagi?

Pada 13hb Mac 2020, tak sampai dua minggu selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, Zahid memberitahu media bahawa UMNO hanya menyokong Muhyiddin sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRu15).

Pada hari yang sama, Najib, selaku penasihat umum Barisan Nasional, berkata sokongan gabungan itu terhadap Perikatan Nasional ada hadya.

“Sebab itu presiden, timbalan presiden dan ketua pemuda Umno tidak ada dalam kabinet kerajaan hari ini.

“Kita hanya pertahankan kerajaan PN ini sehingga PRU15,” katanya.

Pada 12hb Mei 2020, Zahid mengumumkan bahawa Barisan Nasional akan mengundi secara en-bloc untuk menyokong Muhyiddin jika usul tidak percaya diajukan di Parlimen.

Sebelum itu, kedua-dua Najib dan Zahid mengesahkan bahawa sokongan Barisan Nasional terhadap Perikatan Nasional hanya melibatkan ahli-ahli parlimen, sekaligus bermakna sokongan itu terhad kepada Dewan Rakyat, tidak lebih dari itu.

Jadi apakah beza pengumuman yang dibuat oleh Zahid pada 27hb Julai 2020 berbanding apa yang diputuskan olehnya dari awal lagi?

Sama juga ceritanya sebelum pengundian Belanjawan 2021 pada 26hb November 2020. Sebelum tarikh itu, Najib memberi persepsi kononnya Team A akan menghukum Perikatan Nasional dengan menolak belanjawan jika kerajaan tidak benarkan pengeluaran RM10,000 seketul dari KWSP.

Kemudian, setelah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keputusan kerajaan untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19, seluruh Team A bersetuju menyokong Belanjawan 2021 pada peringkat dasar.

Tetapi nyata bahawa pengumuman Zafrul helah semata-mata untuk mengelakkan kerajaan daripada tumbang, kerana sebaik selepas belanjawan diluluskan, pelbagai syarat licik yang tidak masuk akal diumumkan pada 3hb Disember 2020 menjadikan ramai tidak layak mengeluarkan wang simpanan mereka dari KWSP.

Biarpun begitu, pada 15hb Disember 2020, apabila belanjawan 2021 diundi selepas bacaan ketiga, Team A sekali lagi bertindak menyokong kerajaan walaupun pelbagai retorik anti-Zafrul dan anti-KWSP dimainkan oleh Najib dan kuncu-kuncunya di media sosial.

Nampak?

Jadi janganlah termakan drama Datuk Seri Puad Zakarshi yang berpura-pura minta Barisan Nasional menarik sokongan daripada Perikatan Nasional.

Apa yang Puad cuba lakukan ialah menimbulkan persepsi palsu kononnya Team A mempunyai sokongan besar dan berani mencetuskan pembubaran parlimen untuk mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15.

Hakikatnya, Team A tahu sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional merosot teruk kebelakangan ini dan amat memerlukan bantuan dana dari Belanjawan 2021 untuk menabur pelbagai janji menjelang PRU15.

Team A turut tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak akan bersetuju untuk membubarkan parlimen buat masa ini memandangkan jumlah kes Covid-19 masih belum menurun ke tahap dua digit.

Justeru, Najib dan Zahid sanggup menunggu sehingga bulan Febuari dengan harapan angka Covid-19 menurun sebelum cuba mencetuskan pembubaran parlimen.

Sekiranya Team A bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin dalam masa terdekat, Najib dan Zahid takut Tun Dr Mahathir Mohamad akan berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 jika Yang Di-Pertuan Agong bertindak melantik Perdana Menteri baharu.

Sebaliknya, jika Team A sabar dan menunggu sehingga bulan Febuari, bukan hanya kemungkinan untuk parlimen dibubarkan lebih tinggi, menteri-menteri dari Barisan Nasional akan dapat menabur pelbagai janji menggunakan peruntukan dari dana dari Belanjawan 2021 sebelum parlimen dibubarkan dan PRU15 berlangsung.

Bersambung…

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:

Najib, Zahid tidak berani tarik sokongan dari Muhyiddin sebelum Febuari 2021, ini sebabnya…